Monday, 25 May 2015

5,000 PENJAWAT AWAM DI BAWAH PRESTASI SEBENAR - ALI HAMSA



Bernama
23/5/2015














KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Kira- kira 5,000 daripada 1.6 juta
penjawat awam dikenal pasti mempunyai skor pencapaian di bawah 60
peratus sejak dasar pemisah (exit policy) diperkenalkan pada tahun
lepas.



Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata kesemua mereka
didapati melakukan pelbagai kesalahan antaranya tidak hadir bertugas
selama 200 hari setahun dan mempunyai komitmen luar tugas.



"Kita tidak terus buang mereka. Kita akan bagi latihan, kursus,
pemantauan dan pemerhatian dalam tempoh enam bulan sebelum mereka diberi
pilihan untuk berhenti," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis
perasmian sambutan Hari Terbuka NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan)
oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, hari Sabtu.



Menurutnya, selain diberi latihan, penjawat awam terbabit juga boleh
ditukarkan jabatan atau portfolio masing-masing bagi meningkatkan dan
menambah baik prestasi mereka.



Ali berkata dasar pemisah itu juga disambut baik Kongres Kesatuan
Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) demi penambahbaikan
perkhidmatan awam ketika ini dan di masa hadapan.



Menurut dokumen Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020) yang dibentangkan
Najib di Dewan Rakyat Khamis lepas, kerajaan bakal memperkenalkan dasar
pemisah bagi personel berprestasi rendah selain merasionalisasi sektor
awam dan mewajarkan saiz perkhidmatan.



Langkah itu bertujuan menjadikan perkhidmatan awam berfokuskan rakyat
yang disokong dengan bakat yang lebih berkemahiran, kurang lapisan
hirarki dan birokratik, kurang pemusatan kerja serta perkhidmatan yang
lebih mudah dicapai, cekap dan berkesan untuk rakyat.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment