Monday, 25 May 2015

ROHINGYA: PDRM PASTIKAN TIADA ELEMEN ACAM KESELAMATAN NEGARA





Bernama


22/5/2015






IPOH,
22 Mei (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah
berjaga-jaga dalam memastikan kehadiran sekumpulan 7,000 pelarian
Rohingya tidak menimbulkan sebarang elemen yang boleh mengancam
keselamatan negara.


Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata langkah berkenaan
diambil memandangkan latar belakang individu dalam kumpulan itu tidak
diketahui.


"PDRM sentiasa waspada semasa menyediakan dokumentasi dengan
jabatan-jabatan seperti Imigresen bagi memastikan tidak ada elemen yang
boleh mengancam keselamatan negara dalam kumpulan itu," katanya dalam
sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Pegawai Awam PDRM Bersama
Ketua Polis Negara ke-9 di Ipoh, Jumaat.


Hadir sama Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti
merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Perhimpunan Pegawai Awam
PDRM, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Polis Perak Datuk Osman
Salleh dan Presiden CUEPACS Datuk Azih Muda.


Beliau berkata pihaknya mempertingkat kawalan keselamatan di kawasan
perairan negara bersama agensi lain seperti Agensi Penguatkuasaan
Maritim Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia.


Dalam pada itu, Khalid berkata lokasi penempatan 7,000 pelarian Rohingya di negara ini belum dikenal pasti.


"Kami masih menunggu, saya rasa Majlis Keselamatan Negara akan memanggil
mesyuarat agensi-agensi yang terlibat dan akan membincangkan lokasi
yang sesuai.


"Saya rasa lokasi yang mungkin kita buat ialah di kawasan utara negara
kerana mudah untuk memindahkan mereka (pelarian berkenaan).


"Mungkin kerajaan boleh melihat untuk mendirikan pusat sementara ini di
Pulau Pinang bagi memudahkan semua agensi menguruskan penempatan mangsa
pelarian Rohingya ini," katanya.


Sementara itu, Khalid berkata PDRM sentiasa berwaspada terhadap ancaman kumpulan IS.


"Insya-Allah kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan negara
kita tidak terus diancam dan sebarang usaha untuk melakukan apa juga
bentuk keganasan di negara ini akan kita ambil tindakan," katanya.


Khalid juga ditanya perkembangan kes penculikan di sebuah restoran di Sabah baru-baru ini.


"Saya tidak mahu mengulas tentang kedudukan ataupun keadaan mangsa, biarlah itu kami uruskan, demi keselamatan mangsa," katanya.


Dalam kejadian pada 7.45 malam itu, empat lelaki bersenjata menyerbu
Restoran Ocean King dan menculik seorang lelaki dan seorang wanita warga
tempatan.


Mangsa kini dilaporkan berada di sebuah pulau di perairan Filipina.


Kedua-dua mereka ialah Thien Nyuk Fun, 50, yang juga kakak ipar pengurus
restoran itu dan Bernard Then Ted Fen, 39, dari Sarawak yang bekerja
sebagai perunding elektrikal di Kemboja.


--BERNAMA

No comments:

Post a Comment