Utusan Malaysia
1/5/2015
KUCHING
1 Mei - Kakitangan kerajaan akan dibenarkan mengambil cuti tanpa rekod
selama tiga hari bagi urusan kematian membabitkan ibu bapa mertua, ibu
bapa angkat dan anak angkat yang sah di sisi undang-undang, berkuat
kuasa 1 Julai ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak berkata, sebelum ini, cuti tanpa rekod yang diberikan kepada
kakitangan awam hanya melibatkan urusan kematian ahli keluarga terdekat
iaitu isteri atau suami, anak-anak dan ibu bapa kandung sahaja.
Beliau
berkata, keputusan memperluaskan pelaksanaan cuti tersebut merupakan
antara tiga penambah baik yang diberikan oleh kerajaan bagi manfaat
pekerja awam dan swasta di negara ini sempena sambutan Hari Pekerja
2015.
Menurut
Najib, beliau tidak mempunyai apa-apa yang menggemparkan untuk
diumumkan sempena sambutan Hari Pekerja kali ini tetapi tiga penambah
baik itu diharap dapat memberi manfaat kepada para pekerja di negara
ini.
“Walaupun tidak ada pengumuman
menggemparkan hari ini (sempena Hari Pekerja 2015) tetapi tidak
berbaloilah jika tuan-tuan datang dari jauh, saya tidak ada memberi
apa-apa (imbuhan).
“Jadi
pertama, saya nak umumkan kerajaan bersetuju menambah baik pelaksanaan
kemudahan cuti tanpa rekod kepada kakitangan kerajaan bagi urusan
kematian ahli keluarga terdekat selama tiga hari merangkumi suami atau
isteri, anak-anak dan ibu bapa kandung diperluaskan kepada ibu bapa
mertua, ibu bapa angkat serta anak angkat yang sah di sisi
undang-undang, berkuat kuasa 1 Julai ini,” katanya.
Beliau berucap dalam majlis sambutan Hari Pekerja 2015 Peringkat
Kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini hari ini.
Yang
turut, hadir Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan timbalannya, Tan
Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot
Jaem dan timbalannya, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib; Ketua Pengarah
Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal; Ketua Setiausaha
Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Saripuddin Kasim; Setiausaha
Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani; Presiden
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Khalid Atan dan
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS),
Datuk Azih Muda.
Sambutan Hari Pekerja 2015
Peringkat Kebangsaan kali ini mencatatkan sejarah kerana pertama kali
diadakan di luar Semenanjung dan disambut bersama-sama oleh Kementerian
Sumber Manusia, kerajaan negeri, MTUC, CUEPACS, Persekutuan
Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Sambutan kali ini juga paling meriah apabila dihadiri oleh 10,000 pekerja awam dan swasta yang datang dari seluruh negara.
Mengulas
lanjut, Najib berkata, penambah baik kedua ialah kerajaan memutuskan
supaya Program Saringan Kesihatan Percuma bagi pekerja sektor swasta
berumur 40 tahun ke atas yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Keselamatan
Sosial (Perkeso) pada 2013 diteruskan.
“Saya
sudah mengarahkan Perkeso agar meneruskan program tersebut dengan
turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan bergerak di premis majikan.
“Ketiga,
sukacita saya mengumumkan bahawa kita mencadangkan supaya Perkeso
memperluaskan liputan Skim Perlindungan yang ketika ini dihadkan kepada
pekerja bergaji RM3,000 ke bawah kepada semua pekerja tempatan dalam
sektor swasta tanpa mengira had gaji dengan siling caruman yang
diinsurans ditingkatkan dari RM3,000 kepada RM4,000.
“Cadangan
ini dijangka memberi manfaat berbentuk nilai faedah yang lebih tinggi
untuk perlindungan Perkeso dengan tambahan kira-kira 500,000 pekerja
menikmatinya iaitu meningkat kepada 6.5 juta daripada 6 juta pekerja
sebelum ini,” jelasnya.
Beliau berkata, semua
pekerja dalam sektor swasta yang dilindungi di bawah skim terbabit
layak menerima faedah perlindungan insurans secara automatik.
Mengenai
cadangan CUEPACS yang meminta kerajaan meningkat jumlah gaji minimum
pekerja di negara ini, Najib berkata, permintaan tersebut sedang
dipertimbangkan tetapi mustahil dapat tunaikan dalam tempoh terdekat
kerana perlukan perbincangan lanjut, malah tiada negara yang menaikkan
gaji minimum pekerjanya pada setiap tahun.
Dalam
pada itu, beliau meminta pihak berkuasa berkaitan agar mengambil
tindakan tegas terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan
harga barangan ekoran pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST)
supaya tidak membebankan rakyat.

No comments:
Post a Comment