Friday, 8 May 2015

CUEPACS HARAP IMBUHAN PENJAWAT AWAM DI ATAS GARIS KEMISKINAN



Bernama
5/5/2015












BUKIT MERTAJAM, 5 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja
Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan dapat
mempertimbangkan kenaikan imbuhan penjawat awam termasuk gaji yang
berada di atas paras kemiskinan.



Presidennya Datuk Azih Muda berkata pelaksanaan gaji minimum yang
bertepatan dengan keadaan semasa akan membolehkan seseorang penjawat
awam memberi fokus kepada kerja mereka dan meningkatkan produktiviti.



"Gaji minimum kena atas garis kemiskinan. Kita nak setiap orang kerja
kerajaan mampu urus keluarga, mampu beli sebuah rumah kediaman dan dalam
keadaan kondusif...kerja dan fokus, tak perlu fikirkan lain. Ini
pendekatan produktiviti. Produktiviti tak ada kalau tak boleh tumpu
sepenuhnya kepada kerja. Kalau nak fokus perlu ada kecukupan," katanya
kepada pemberita hari ini.



Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Perhimpunan Hari
Pekerja Peringkat Negeri Pulau Pinang di Politeknik Seberang Perai di
sini yang disempurnakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi.



Beliau berkata ketika ini terdapat 1.6 juta penjawat awam dan CUEPACS
sentiasa mengkaji dan membuat analisis sendiri tentang keperluan
penjawat awam.



"Kalau penjawat awam dalam keadaan miskin, terpaksa bergantung kepada
bantuan, (pendapatan) sekadar boleh 'survive' (hidup) ini tak bagus
untuk negara terutama apabila menjadi negara maju.



"Kerana itu, menjadi harapan kami gaji minimum ketika ini dinaikkan
daripada RM800 kepada RM1,200, walaupun kita tahu kalau di bandar besar
gaji bawah RM3,000 masih di bawah paras miskin. Kalau letak RM1,200
bermakna kita dah mula nilai kemampuan seseorang individu," katanya.



Sementara itu, Azih berharap akan ada berita baik untuk penjawat awam
diumumkan dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke-11 dan Bajet 2016.



"Sebelum itu, kami berharap akan ada forum untuk penjawat awam supaya
kerajaan boleh nyatakan cadangan-cadangan kerajaan dari segi
penambahbaikan sektor awam terutama keperluan kita atas tuntutan yang
pernah dibuat," katanya.



Mengulas laporan sebuah portal berita bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam
(JPA) kini mengawal jumlah perjawatan bagi semua kementerian dan jabatan
bermula 22 April lalu, Azih berkata beliau tidak menerima pekeliling
kerajaan berkenaan perkara itu dan jika maklumat itu betul beliau
berharap ia hanya bersifat sementara.



"Saya minta perkara ini bersifat sementara dan bila dah stabil boleh
dilakukan pengambilan semula. CUEPACS juga ingin mencadangkan kepada
kerajaan, supaya ia tidak mengganggu "succession plan".



"Pekerja bersara, yang meninggal dan berhenti perlu diganti. Perlu ada
pelan penggantian. Dalam hal ini, CUEPACS bimbang persepsi golongan muda
kepada kerajaan. Kerajaan mungkin melihat angka 1.6 juta penjawat awam
ketika ini agak ramai dan kerajaan hendak kawal pengambilan supaya tidak
melebihi waran iaitu 1.7 juta," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment