Sinar Harian
13/5/2015
Azih Muda
KOTA KINABALU - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan
Awam (Cuepacs) akan mengemukakan kepada kerajaan lima perkara berkaitan
penjawat awam untuk diberikan perhatian dalam Rancangan Malaysia Ke-11
(RMK-11).
Presidennya, Azih Muda berkata lima perkara itu tertumpu kepada aspek
keadilan dan kesaksamaan terhadap penjawat awam khususnya yang
berpendapatan rendah melibatkan kebajikan, perbelanjaan kesihatan,
perumahan, kos sara terkawal serta insentif termasuk elaun.
Beliau berkata dari aspek kesihatan seperti pemberian insurans kepada
penjawat awam terutamanya anggota beruniform, bukan hanya kepada polis
dan tentera sahaja, tetapi kepada anggota beruniform lain berikutan
cabaran kerja yang cukup tinggi masa kini, dan ia perlu dinyatakan
dengan jelas dalam RMK-11.
"Dalam tempoh lima tahun negara menuju ke 2020, masih ada penjawat awam
mengalami tekanan hidup ekoran kos sara hidup yang tinggi ketika ini,"
katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan kepada lebih 3,000
penjawat awam yang hadir pada perhimpunan Hari Pekerja 2015 peringkat
Sabah di sini, hari ini.
Azih berkata Cuepacs juga meminta kerajaan secara jelas menyatakan
dalam RMK-11 peruntukan perumahan bagi penjawat awam, dan dalam tempoh
lima tahun, peruntukan perumahan itu perlu ditambah merangkumi pembinaan
Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), MyHome dan projek rumah mampu
milik.
"Kerajaan perlu memastikan kos tidak meningkat dengan ketara. Hari ini
penjawat awam yang gaji RM3,000 ke bawah tidak mampu membeli rumah harga
RM180,000 dan kalau beli, mereka tidak mampu lagi untuk membeli
keperluan lain.
Ini yang kerajaan perlu pertimbangkan iaitu membina rumah yang harga RM130,000 ke bawah dan mampu milik," katanya.
Mengenai aspek sara hidup, Azih berkata Cuepacs mahu dalam RMK-11,
apapun yang dicadangkan oleh kerajaan, mekanisme itu dapat membantu
penjawat awam di kawasan bandar menangani kos sara hidup yang meningkat
secara mendadak.
Katanya insentif untuk sektor awam termasuk elaun yang sudah lama tidak
dikaji dan tidak dapat membantu penjawat awam menampung perbelanjaan
seperti elaun perumahan wilayah, elaun pedalaman, Cola dan elaun sewa
rumah, perlu diteliti semula agar sesuai dengan peredaran masa.
"Insentif ini pelbagai termasuklah hospitaliti, perumahan, elaun dan
sebagainya dan telah 13 tahun tidak dikaji. Ini yang kita sebut kerana
harapan Cuepacs agar sektor awam (menjadi) pemangkin kepada hasrat
kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020 dan
negara berpendapatan tinggi," katanya
Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Borhan Dolah. -Bernama
No comments:
Post a Comment