Monday, 18 May 2015

PEMBEKUAN JAWATAN BAHARU LANGKAH RASIONALISASI PERKHIDMATAN AWAM - JPA



Bernama
8/5/2015








PUTRAJAYA, 8 Mei (Bernama) -- Pembekuan pewujudan jawatan baharu
merupakan langkah pengawalan saiz perkhidmatan awam yang diperkenalkan
kali ini, kata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).



JPA dalam kenyataan hari ini berkata pengisian kekosongan jawatan
berikutan persaraan, peletakan jawatan, pertukaran, kematian dan
penamatan perkhidmatan masih boleh dilaksanakan seperti biasa.



Menurut kenyataan itu, jumlah penjawat awam sehingga 31 Dis tahun lepas
ialah sebanyak 1.61 juta, yang memperlihatkan kedinamikan sektor awam
dalam memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat.



Perkhidmatan awam Malaysia merangkumi keseluruhan perkhidmatan termasuk tentera dan polis.



Menurut JPA, pendekatan rasionalisasi perkhidmatan awam pernah dilaksanakan pada 2008, 2010 dan 2011.



"Usaha rasionalisasi ini berpaksikan kepada produktiviti dan penggunaan sumber manusia secara optimum," kata kenyataan itu.



JPA berkata pembekuan pewujudan perjawatan baharu dalam perkhidmatan
awam akan diimbangi dengan usaha menambahkan peluang pekerjaan di sektor
swasta.



Menurut kenyataan itu, sepertimana yang dibentangkan oleh Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam laporan Program Transformasi
Ekonomi (ETP) pada 28 April lepas, sebanyak 3.3 juta peluang pekerjaan
akan diwujudkan menjelang 2020.



"Usaha merasionalisasikan perkhidmatan awam merupakan langkah terbaik
kerajaan dalam mendepani realiti pada masa kini bagi memastikan
kelangsungan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat," kata
kenyataan JPA itu.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment