Monday, 18 May 2015

KEMENTERIAN KESIHATAN BINCANG DENGAN JPA KAJI SEMULA PEMBEKUAN PERJAWATAN



Bernama
11/5/2015









MELAKA, 11 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan sedang berbincang
dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mengkaji semula pembekuan
perjawatan baharu untuk kementerian, kata Menterinya Datuk Seri Dr S
Subramaniam.



Beliau berkata pembekuan itu dikhuatiri akan memberi kesan terhadap
sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat terutama melibatkan
pembukaan hospital atau klinik baharu.



Memberikan contoh, katanya Hospital Shah Alam di Selangor dijangka
dibuka pada September depan memerlukan tambahan kakitangan baharu bagi
operasi di hospital berkenaan.



"Bila kita meluaskan perkhidmatan melalui pembukaan hospital atau
klinik baharu, jawatan tambahan mesti diberikan dan ia tidak boleh
dibekukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan
Kebangsaan Penolong Pegawai Perubatan Malaysia 2015 di sini hari ini.



Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman JPA
berhubung pembekuan perjawatan baharu sebagai langkah pengawalan saiz
dan pendekatan rasionalisasi perkhidmatan awam yang pernah dilaksanakan
pada 2008, 2010 dan 2011.



JPA dalam dalam kenyataannya Jumaat lepas berkata pembekuan pewujudan
perjawatan baharu dalam perkhidmatan awam akan diimbangi dengan usaha
menambah peluang pekerjaan di sektor swasta.



Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata jus sari daun betik yang
dikatakan boleh merawat demam denggi hanya boleh diiktiraf sebagai herba
dan bukannya satu daripada ubat yang diiktiraf Kementerian Kesihatan.



Beliau berkata ini kerana produk berkenaan perlu melalui pelbagai
proses saintifik termasuk proses klinikal untuk diiktiraf kementerian.



"Saya tidak dimaklumkan terdapat mana-mana syarikat yang telah
menjalani proses klinikal bagi penghasilan jus betik yang mampu merawat
denggi jadi ia boleh dijual sebagai herba dan bukannya ubat," katanya.



Media hari ini melaporkan sebuah syarikat tempatan dari Pulau Pinang
berjaya menghasilkan produk rawatan alternatif jus sari daun betik yang
dikatakan mampu merawat demam denggi dengan lebih cepat.







-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment