Utusan Malaysia
22/5/2015
ABU BAKAR (kanan) bersalaman dengan pegawai-pegawai perkhidmatan awam
PDRM pada Perhimpunan Pegawai Awam PDRM di Ipoh, Perak, semalam.
UTUSAN/HANAFI KHAMIS
IPOH
22 Mei - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini
mencadangkan Pulau Pinang sebagai lokasi terbaik bagi dijadikan
penempatan sementara 7,000 pelarian Rohingya yang masih terdampar di
perairan antarabangsa.
Bagaimanapun kata beliau, sama ada
diterima atau tidak, perkara itu terpulang kepada keputusan mesyuarat
dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi-agensi terlibat yang
akan diadakan tidak lama lagi.
“Namun, saya
ingat Pulau Pinang sesuai kerana dekat dengan perairan tersebut. Jadi,
mungkin kerajaan boleh melihat untuk mendirikan pusat penempatan
sementara di Pulau Pinang kerana memudahkan semua agensi bagi
menguruskan penempatan mangsa-mangsa pelarian," katanya.
Khalid
berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya sama ada lokasi
penempatan sementara membabitkan pelarian Rohingya telah dikenal pasti.
Beliau
ditemui selepas merasmikan Perhimpunan Pegawai Awam PDRM Ke-9 yang
turut dihadiri oleh setiap wakil kontinjen polis negeri seluruh
Malaysia, di sini hari ini.
Hadir sama
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk
Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh;
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam
(CUEPACS), Datuk Azih Muda dan Presiden Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan
Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (PACSU), Mahamad
Bahrum.
Kelmarin, Menteri Luar, Datuk Seri
Anifah Aman menjelaskan, hampir 7,000 pelarian Rohingya dan Bangladesh
yang tersadai di perairan antarabangsa sejak beberapa minggu lalu akan
diberikan bantuan secepat mungkin serta disediakan tempat perlindungan
sementara.
Ketika ditanya mengenai
perkembangan membabitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Khalid
menegaskan siasatan tersebut dikendalikan oleh pasukan petugas khas
yang disertai oleh PDRM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
dan Jabatan Peguam Negara.
“Kami masih
menunggu laporan daripada Jabatan Audit Negara yang khabarnya akan
menyelesaikan tugas mereka tidak lama lagi kerana kita tak mahu
bertindih-tindih.
“Biarlah satu-satu buat
kerja dahulu. Cuma, kita tidak hebahkan 'satu dunia' bahawa kita telah
memanggil individu untuk diambil keterangan. Biarlah kita jalankan
tugas,” katanya.
No comments:
Post a Comment