Katanya, ini kerana kebanyakan pengundi
telah serik dengan apa yang dialami mereka sejak 17 tahun lalu yang
sekadar bersandarkan retorik dan perasaan tidak puas hati.


Beliau berkata, mereka kini kecewa dengan kegagalan wakil rakyat sebelum ini menjaga kebajikan mereka.

“Saya
merasakan suatu kelainan pada kali ini, saya pernah menjadi Pengarah
PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir suatu ketika dahulu,
rakyat ketika itu terlalu bersimpati kepada tokoh tertentu dan kita
lihat kesatuan mereka adalah jelas,” katanya.


Beliau
berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Merasmikan Perhimpunan
Hari Pekerja peringkat negeri di Politeknik Seberang Perai di sini hari
ini.


Yang
turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Junaidi
Tuanku Jaafar; Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau
Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan Presiden Kongres Kesatuan
Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda.


Sementara
itu, Ahmad Zahid yang juga Pengarah PRK Parlimen Permatang Pauh menyeru
semua pihak yang terlibat dalam PRK itu supaya berkempen dengan baik.


Katanya,
pada masa ini sudah ada jentera parti dari negeri lain cuba melakukan
provokasi supaya Barisan Nasional (BN) dipersalahkan.


“Saya
harap semua pihak bertenang dan menerima hakikat bahawa kuasa rakyat
adalah kuasa mutlak untuk menentukan wakil ke Dewan Rakyat.


“Sikap agresif tidak beri kelebihan kepada mana-mana pihak sebaliknya pengundi menjadi semakin benci,” katanya.

Diminta
mengulas cadangan supaya Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) perlu mendapat kepujian dalam Bahasa Melayu di peringkat Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM), Ahmad Zahid berkata, sebagai rakyat negara
ini, tiada alasan untuk mana-mana pihak tidak fasih bertutur dalam
bahasa kebangsaan.


“Di
Thailand, ahli Parlimen mereka perlu bertutur dalam bahasa Thai, di
Indonesia dalam bahasa Indonesia manakala di Filipina dalam bahasa
Tagalog,” katanya.


Beliau mengulas cadangan
ahli akademik, Prof. Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah yang mahu
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensyaratkan mereka yang mahu menjadi
wakil rakyat bagi peringkat Parlimen atau DUN, perlu sekurang-kurangnya
mendapat kepujian Bahasa Melayu dalam SPM.


Selain
itu, Mohd. Ridhuan Tee turut mencadangkan agar calon pilihan raya
ditemuduga mengenai penguasaan bahasa Melayu dan sejarah kenegaraan
sebelum dibenarkan bertanding.