Friday, 1 May 2015

KERAJAAN SENTIASA JAMIN HAK PEKERJA DALAM NEGARA



Bernama
1/5/2015









Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan Anugerah
Majikan 1Malaysia (Syarikat Besar) kepada Ketua Pegawai Eksekutif X- FAB
Sarawak Sdn Bhd Mike Young sempena sambutan Hari Pekerja Peringkat
Kebangsaan 2015 di Pusat Konvensyen Borneo hari ini. Turut hadir Menteri
Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot (kiri).
KUCHING, 1 Mei
(Bernama) -- Hak-hak pekerja dalam negara terus dijamin dalam
kesungguhan Malaysia menuju status negara maju di bawah kepimpinan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.



Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata bagi tujuan itu,
kerajaan akan terus memperkenalkan pelbagai langkah baharu, antaranya
Sistem Insurans Pekerjaan yang diumumkan Perdana Menteri semasa
pembentangan Bajet 2015 yang lepas.



Selain ini menurutnya kerajaan juga memperkenalkan dasar khusus bagi
meningkatkan taraf hidup pekerja dan meningkatkan daya saing industri
seperti dasar gaji minimum dan dasar umur persaraan minimum.



"Dalam hal ini, saya menyeru warga pekerja, majikan dan pihak industri
khususnya di Sarawak untuk terus menyokong hasrat kerajaan
melaksanakannya supaya ia dapat berjalan dengan lancar," katanya.



Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis sambutan Hari
Pekerja Peringkat Kebangsaan 2015 yang dilancarkan Najib di Pusat
Konvenysen Borneo Kuching di sini hari ini.



Sementara itu, Adenan berkata beliau mahu supaya aspek penguatkuasaan
perundangan dan promosi keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Sarawak
digiatkan lagi bagi meningkatkan pematuhan dan seterusnya mengurangkan
kemalangan industri dan penyakit.



"Adalah amat wajar jika aspek keselamatan dan kesihatan diletakkan
sebagai salah satu daripada prosedur tadbir urus terpenting bagi
sesebuah organisasi," ujarnya.



Tambahnya, Sarawak sekarang mempunyai 1.1 juta pekerja yang menyokong
penuh hasrat kerajaan negeri untuk mencapai status negeri maju pada
2030.



Terdahulu Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem dalam
ucapannya berkata sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan tahun ini
mencipta sejarah dengan penyertaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia
(MTUC), Kongres Kesatuan Sekerja Dalam perkhidmatan Awam (CUEPACs) dan
Persekutan Majikan Majikan Malaysia (MEF) buat kali pertama.



-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment