Thursday, 30 April 2015

CUEPACS HARAP KERAJAAN UMUM'HADIAH ISTIMEWA' KEPADA PENJAWAT AWAM PADA 1 MEI



Bernama
29/4/2015












Datuk Azih Muda
KUCHING,
29 April (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam
Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan akan mengumumkan 'hadiah
istimewa' kepada penjawat awam sempena sambutan Hari Pekerja, 1 Mei ini.



Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata pemberian hadiah tersebut
sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada penjawat awam yang berusaha
bersungguh-sungguh untuk meningkatkan produktiviti negara.



"Kenaikan produktiviti negara yang meningkat lebih 100 peratus seperti
diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan
kesungguhan penjawat awam dan golongan pekerja di negara ini
melaksanakan tanggungjawab diamanahkan kepada mereka.



"Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan atas kejayaan Program
Transformasi Ekonomi negara, tetapi amat sedih kerana masih ada pekerja
di negara ini menerima gaji di bawah garis kemiskinan nasional," katanya
selepas majlis perasmian Seminar Kepimpinan Perdana Cuepacs oleh
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Misnu Taha, di sini hari ini.



Sehubungan itu, Azih berkata kerajaan harus memperkenalkan gaji minimum RM1,200 sebulan kepada kakitangan sektor awam.



Beliau berkata pelaksanaan gaji minimum itu perlu memandangkan pekerja
dan rakyat secara umumnya terpaksa menanggung kos kenaikan harga barang
serta elemen cukai yang membebankan mereka.



Selain itu, katanya Cuepacs mahu supaya pelaksanaan 252 skim
perkhidmatan awam termasuk kenaikan gaji seperti diumumkan Najib dalam
pembentangan Bajet 2015, dapat disegerakan.



Ketika membentangkan Bajet 2015 pada 10 Okt 2014, Najib memberi jaminan
kerajaan akan menambah baik 252 skim perkhidmatan awam termasuk skim
kenaikan gaji, dan 81 daripadanya sudah dilaksanakan secara
berperingkat.



Azih berkata kenaikan gaji 10 peratus itu sangat penting untuk
memastikan penjawat awam menerima gaji pokok melebihi paras kemiskinan
nasional, iaitu RM880 sebulan, terutama bagi Gred 11 hingga Gred 17.



Katanya pelaksanaan skim gaji minimum RM1,200 itu perlu disegerakan
kerana dianggarkan kira-kira 700,000 penjawat awam masih menerima gaji
pokok antara RM802 dan RM820 sebulan.



Sehubungan itu, katanya ramai dalam kalangan penjawat awam tidak mampu
membeli rumah kos rendah atau rumah mampu milik, termasuk di bawah
Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) walaupun harganya
antara RM90,000 dan RM150,000 seunit.



"Tidak ada gunanya negara kita maju kalau masih ramai pekerja bergaji
rendah dan tidak mampu memiliki rumah. Harga rumah meningkat RM30,000
setiap tahun dan jika gaji pekerja hanya bertambah RM80, sudah pasti
mereka tidak mampu membeli rumah," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment