Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja
Di Dalam Perkhidmat­an Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda berkata, skim
gaji yang tidak disemak selama 20 tahun itu memaksa sebahagian daripada
mereka mencari peluang pekerjaan sampingan untuk menjana pendapatan
tambahan bagi menampung keperluan.


“Mereka terdiri daripada pembantu am rendah,
pemandu, penghantar surat dan kakitangan sokongan. Ada yang terpaksa
bekerja di pam minyak, berniaga di pasar malam, bekerja di pasar raya
bagi menampung keperluan hingga menyebabkan tumpuan kerja terganggu
terhadap kerja hakiki dan tahap produktiviti menurun.


“Berikutan itu, kita minta supaya kerajaan
menyemak skim gaji minimum berkenaan dan dinaikkan kepada RM1,200.
Walaupun diakui gaji berkenaan masih tidak mencukupi, sekurang-kurangnya
dapat membantu penjawat awam terlibat,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menghadiri Forum
Ekonomi Penjawat Awam 2015 bertemakan Pembangunan Ekonomi Penjawat Awam
dan Peranannya dalam Memacu Ekonomi Negara yang dirasmikan Setiausaha
Kerajaan Ne­geri, Datuk Ismail Karim di sini hari ini.


Dalam pada itu, Azih menggesa kerajaan menyemak
kadar pelepasan cukai pendapatan untuk penjawat awam kepada 100 peratus
berikutan peningkatan kos sara hidup terutama mereka yang tinggal di
kawasan bandar.


“Setiap hari rakyat dikenakan bayaran cukai
barang dan perkhidmatan (GST) dan kita faham ia untuk menjana pendapatan
negara, namun kerajaan perlu lihat secara komprehensif selepas
melaksanakannya dan perlu disesuaikan de­ngan kadar pendapatan.


“Jadi, kita minta pelepasan cukai pendapatan itu
merujuk kepada kategori tertentu bagi meringankan beban kakitangan awam
yang berpendapatan rendah dan perlu menanggung keluarga. Misalnya
pengecualian RM1,000 untuk seorang anak dinaikkan kepada RM2,000 dan
sebagainya kerana banyak kos melibatkan pusat jagaan, sekolah dan
sebagainya,” katanya