Bernama
23/4/2015

ALOR SETAR, 23 April (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja
Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini merayu kerajaan mempertimbang
semula tempoh perkhidmatan pegawai lantikan secara kontrak.
Presidennya Datuk Azih Muda berkata, sehingga ke hari ini, banyak aduan
diterima pihaknya berhubung tempoh perkhidmatan diberikan hanya setahun
ataupun 'berdasarkan tahun ke tahun' sekali gus membantutkan
perancangan pekerja terutamanya yang sudah berkeluarga.
"Dalam tempoh enam bulan mereka kena rancang nak sambung perkhidmatan
mereka, kita tahu setiap pekerja ada matlamat mereka nak rumah nak
keluarga, nak beli kenderaan ada perbelanjaan sekolah, kalau kontrak
berdasarkan tahun ke tahun, mereka tak boleh merancang, dan hilang
motivasi semangat bekerja.
Usia bekerja di Malaysia dengan kelayakan lebih tinggi, amat wajar
kerajaan melantik mereka ini mesti tidak kurang tiga tahun, barulah
boleh merancang beli rumah, kenderaan dan perbelanjaan anak-anak,"
katanya.
Jelasnya, kerajaan turut wajar memberi peluang mereka yang bekerja secara kontrak untuk diberikan jawatan tetap.
Cadangan-cadangan dikemuka CUEPACS ini, kata Azih diyakini tidak akan
membebankan kedudukan kewangan kerajaan, malahan CUEPACS berharap
cadangan ini dibentangkan dalam Bajet 2016 dan dibawa dalam Rancangan
Malaysia ke-11.
"Kita berjuang pastikan pekerja-pekerja tidak dapat kerja ini dapat
kerja, manakala mereka yang dilantik kontrak ini ada jaminan, sebab
mereka kerja dengan kerajaan, jadi kerajaan kena jaga dia," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment