Friday, 24 April 2015

PANDANGAN PERIBADI TIDAK HARUS HALANG PENJAWAT AWAM LAKSANA TUGAS - SALLEH



Bernama
21/4/2015







KOTA KINABALU, 21 April (Bernama) -- Speaker Dewan Undangan Negeri
Sabah Datuk Seri Dr Salleh Tun Said mengingatkan penjawat awam agar
tidak menjadikan perbezaan pandangan dengan kerajaan yang memerintah
sebagai penghalang untuk mereka melaksanakan tugas sebaik-sebaiknya.



Salleh berkata dalam sistem pemerintahan demokrasi seperti diamalkan
kerajaan Malaysia, semua penjawat awam bertanggungjawab menyokong
kerajaan yang memerintah pada ketika itu dengan melaksanakan segala
dasar yang telah ditetapkan.



"Pandangan peribadi kita tidak seharusnya menjadi penghalang kepada
kita untuk berbuat demikian (melaksanakan segala dasar kerajaan).
Tanggungjawab kita ialah memberi kerjasama sepenuhnya kepada kepimpinan
negara.



"Jika kita sabotaj atau menghalang usaha-usaha kerajaan maka kita adalah
seorang kakitangan yang tidak bertanggungjawab kerana kita bekerja
untuk 'government of the day', bukan soal politik kepartian " katanya.



Salleh bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk
'Isu-isu Semasa dan Kesannya Terhadap Pengukuhan Nasional' sempena
program Bicara Intelek anjuran Jabatan Penerangan Sabah di sini hari
ini.



Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Penerangan Sabah Datuk
Almain Ajirul dan ketua-ketua agensi di bawah Kementerian Komunikasi
dan Multimedia Malaysia.



Isu-isu disentuh termasuk pelaksanaan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).



Mengenai CBP, Salleh berkata penjelasan rasional, berdasarkan realiti
sebenar dan mudah mengenai sistem itu perlu dilakukan agensi kerajaan
berkaitan bagi memastikan rakyat lebih mudah memahaminya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment