Sambil menganggap penafian JPA itu
sebagai ‘gaya lama’, Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda menegaskan, apa
yang dibangkitkan oleh kesatuan itu ialah mengenai gaji pokok penjawat
bukannya gaji yang ditambah bersama elaun.


‘‘Ini
tidak adil sekiranya ingin dicampur aduk dengan elaun yang bersifat
sementara kerana elaun tidak akan dikira dalam pencen. Pihak kami
bercakap berdasarkan fakta iaitu terdapat 400,000 penjawat awam masih
menerima gaji pokok serendah RM805 sebulan yang kalau diikutkan berada
di bawah garis kemiskinan iaitu RM880 sebulan,” katanya ketika dihubungi
di sini.


JPA
dalam penafiannya hari ini menjelaskan, amaun gaji bagi gred 11 iaitu
gred paling rendah dalam perkhidmatan awam adalah antara RM832 hingga
RM850 manakala pendapatan bulanan mereka boleh mencecah RM1,275 jika
termasuk elaun dan jumlah penjawat awam yang menerima gaji RM850 sebulan
hanyalah seramai 3,072 orang.


Tegas Azih,
jika JPA menganggap dakwaan CUEPACS tidak benar, beliau mahu jabatan itu
mendedahkan kepada umum jumlah gaji dan elaun bagi peringkat Jawatan
Utama Sektor Awam (JUSA) A, B dan C. Cara itu akan membolehkan
perbandingan gaji dan elaun antara JUSA dan kumpulan Turus dilakukan.


Sementara
itu, Azih menegaskan, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Ketua
Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohamad Zabidi semalam yang menyifatkan
tuntutan kenaikan gaji penjawat awam oleh CUEPACS ketika ini sebagai
tidak sesuai disebabkan keadaan ekonomi yang tidak stabil.


Beliau
berkata, semakan terakhir gaji penjawat awam adalah pada 2005 dan dalam
tempoh itu ekonomi negara pernah berada dalam keadaan baik namun
semakan gaji tidak pernah dibuat.


“Bila
masa yang sesuai? Ketika ekonomi bagus pun mereka kata tidak bagus. Kos
sara hidup semakin meningkat, nak buat apa pun tak cukup dengan gaji
minimum RM805. Sepatutnya JPA tak boleh ‘pancung’ terus tuntutan kita
ini, apa salahnya kita berunding dahulu dan mencari mekanisme bersama
untuk mengatasi masalah ini, barulah ada keharmonian,” katanya.