Bernama
22/ 4/2015
KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Kaji selidik secara dalam talian
'i-Akaun' yang diperkenalkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)untuk
mendapatkan pandangan pencarum berhubung cadangan penyelarasan umur
pengeluaran simpanan ahlinya kepada 60 tahun adalah tidak relevan.
Sebaliknya, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam
Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata pertemuan secara
terbuka antara KWSP dengan pihak berkepentingan seperti pekerja dan
majikan adalah lebih sesuai.
"Hari ini dalam keadaan orang ramai yang tidak bersetuju dengan
cadangan tersebut, KWSP tidak seharusnya memperkenalkan kaedah itu,"
katanya dalam sidang media di sini Rabu.
KWSP baru-baru ini meminta ahlinya menimbangkan dua cadangan --
melanjutkan umur pengeluaran penuh daripada 55 kepada 60 tahun secara
berperingkat dalam tempoh 15 tahun, atau mengekalkan umur pengeluaran 55
bagi simpanan sedia ada dan memperkenalkan umur pengeluaran baharu pada
60 tahun bagi caruman mereka yang bekerja selepas usia 55 tahun.
Azih berkata pihaknya berpendirian tegas bahawa cadangan tersebut akan
menyebabkan bakal pesara lebih tertekan dengan komitmen sedia ada
seperti bayaran perumahan serta perbelanjaan lain.
Cuepacs turut mencadangkan supaya KWSP memberikan bonus kepada ahli
yang telah mencarum lebih dari 25 tahun bagi menambah simpanan mereka.
Dalam perkembangan lain, Azih meminta setiap kementerian serta agensi
di bawahnya disaran untuk menetapkan tempoh petugas kontrak
sekurangnya-kurangnya tiga tahun.
"Sebagai contoh 18,000 pekerja kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat
(KEMAS) yang ditamatkan kontrak sehingga hujung tahun ini, perkara ini
akan menyebabkan mereka tertekan memikirkan pekerjaan lain," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment