Saturday, 18 April 2015

ORANG ASING GEMBIRA KITA DUKA



Berita Harian
Sabtu, 11 April 2015 @ 8:40 AM
Oleh Kunta Kinte



Tak berapa lama dulu, seorang eksekutif dan seorang wartawan wanita dari
Sepanyol jumpa Kunta Kinte untuk sembang berkenaan Malaysia. Mereka
dalam usia 30-an dan baru sahaja kena tukar ke negara kita. Negara
mereka negara maju tapi keadaan ekonomi teruk. Pengangguran sampai 23
peratus.

Lebih 50 peratus penduduk umur bawah 25 tak ada kerja.

Mana-mana negara pun yang ramai orang muda dan lulusan universiti tak
ada kerja adalah negara yang gagal majukan ekonomi secara lestari. Balik
kepada cerita dua wanita muda Sepanyol tadi, mereka bagi tahu Kunta
Kinte mereka rasa sangat bertuah dihantar ke Malaysia. Sebelum datang ke
negara kita, mereka bekerja di sebuah negara Arab.

"Pada mulanya kami bimbang juga kerana kami baca bahawa Malaysia adalah
negara Islam. Kami bayangkan Malaysia macam negara-negara Arab. Tapi
bila kami tiba di Malaysia ia berlainan sekali daripada anggapan kami.
Malaysia adalah syurga."

Kemudian Kunta Kinte sembang pula dengan pendatang asing yang kerja di
kedai kopi kegemaran Kunta Kinte.

Mereka pun kata Malaysia macam syurga.
Maklumlah mereka datang dari negara macam Indonesia, India dan Nepal
yang jauh lebih mundur daripada kita.

Pakaian seragam majikan bagi. Makan percuma. Apa yang Kunta Kinte makan,
itulah yang mereka makan. Hostel disediakan di atas kedai. Jadi tak
payah susah-susah keluar duit beli pakaian kerja, makanan, sewa rumah
dan bayar tambang.

Betullah Malaysia syurga bagi mereka.

Pendek kata, orang asing yang merantau ke negara kita - tak kira pekerja
profesional atau buruh, dari negara maju atau mundur - hidup lebih
senang di negara kita daripada di negara mereka sendiri.

Nasib tak sebaik orang asing

Kunta Kinte seronoklah dengar mereka puji negara kita. Tapi, bila Kunta
Kinte tengok nasib sesetengah orang kita sendiri, Kunta Kinte sedih dan
susah hati. Ramai rakyat kita nasib mereka tak sebaik orang asing.

Bulan lepas Kunta Kinte baca berita atas talian yang petik Presiden
Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih
Muda, kata ada keluarga pembantu pejabat dan pembantu am perkhidmatan
awam yang duduk bersesak-sesak dalam rumah satu bilik.



Kunta Kinte langsung tak hairan. Gaya hidup macam mana lagi mereka mampu
bila gaji mereka lebih sikit RM1,000 sebulan sahaja. Mereka ini adalah
dalam gred paling rendah hierarki Jabatan Perkhidmatan Awam, iaitu gred
ke-11 (G11). Dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gaji asas
mereka antara RM805 dan RM820. Lepas tambah elaun kos sara hidup (COLA)
RM300 dan elaun perumahan RM180, pendapatan kasar hanya antara RM1,285
dan RM1,300 sebulan.



Azih kata, dengan pendapatan macam itu mereka hanya mampu sewa bilik di
tempat sara kos tinggi macam Kuala Lumpur, Johor Bahru, Shah Alam dan
Klang. Sewa bilik sahaja antara RM600 dan RM800 sebulan. Keadaan ini
sangatlah menyedihkan sebab bilangan pekerja dalam gred ini ramai -
antara 250,000 dan 300,000. Daripada bilangan itu, ramai yang bekerja
secara kontrak dan tak ada pencen. Itu tak kira lagi pekerja gaji rendah
sektor swasta yang lebih ramai.

Jadi Kunte Kinte sokong permintaan CUEPACS agar kuota rumah kos rendah
diwujudkan untuk kakitangan awam dan pelaksanaannya tak diserah
bulat-bulat kepada sektor swasta.

Lagi elok dimasukkan juga pekerja
bergaji rendah dalam sektor swasta.

Perumahan untuk rakyat

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata Kunta Kinte tak hairan dengan
keadaan ini sebab Kunta Kinte dah tengok sejak sebelum 13 Mei 1969 lagi.
Dasar kita mengenai perumahan untuk rakyat biasa sejuk, panas dan
terketar-ketar. Tak tekal.

Masa Kunta Kinte hijrah ke Kuala Lumpur sebulan lepas 13 Mei, boleh kata
majoriti orang Melayu dan India yang berhijrah dari kampung dan ladang
duduk di rumah haram atau sewa bilik atas kedai Cina.

Masa itu
pangsapuri tak ada lagi sampailah flet Jalan Pekeliling (sekarang Jalan
Tun Abdul Razak) didirikan.

Masa itu, orang Melayu berduyun-duyun merantau ke bandar pasal hidup
susah akibat harga getah jatuh teruk. Mereka inilah yang buka kawasan
perumahan setinggan di pinggir bandar, di tepi sungai dan di lereng
bukit. Selepas 13 Mei, hasil daripada pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru
banyak rumah murah dibina, termasuk di atas tapak rumah setinggan yang
musnah terbakar masa pergaduhan.

Bagaimanapun, nampaknya sejak akhir-akhir ini pembinaan rumah kos rendah
dan sederhana tak lagi jadi keutamaan kerana dasar pasaran terbuka.
Pemaju hartanah awam dan swasta tak lagi dikenakan syarat bina rumah kos
rendah dan sederhana. Mereka berlawan bina rumah mewah yang ramai
rakyat jelata tak mampu nak beli.



Tiga atau empat dekad lalu pemaju dikenakan syarat bina rumah bercampur
untuk semua kelas pembeli dengan menggunakan kaedah 'cross subsidy,'
iaitu pembeli rumah mewah membiayai pembinaan rumah kos rendah.

Legasi kaedah ini masih boleh kita tengok di Subang Jaya di mana ada
banglo, rumah berkembar, rumah teres, kondominium dan pangsapuri sebelah
menyebelah. Jadi Kunta Kinte sokong sangatlah usaha kerajaan bina lebih
banyak rumah mampu milik di kawasan bandar sama ada secara sendiri atau
melalui usaha sama.

Kita janganlah jadi macam kata pepatah 'kera di hutan disusukan, anak di
rumah mati kelaparan.' Rakyat jelata kita hidup susah tapi pendatang
hidup macam di syurga. Kunta Kinte tak tahu sama ada dasar 'house-owning
democracy' (demokrasi pemilikan rumah) yang dilaung-laungkan tak berapa
lama dulu masih jadi matlamat kerajaan. Wallahuaklam.






No comments:

Post a Comment