Saturday, 18 April 2015

TUBUH SURUHANJAYA TETAP BAGI SEMAKAN GAJI PENJAWAT AWAM - NAVARATNAM



Bernama
17/4/2015












KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Suruhanjaya tetap perlu
ditubuhkan bagi membuat semakan gaji dalam perkhidmatan awam setiap lima
tahun, kata Pengerusi Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) Tan
Sri Ramon Navaratnam.



Beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula gaji
penjawat awam terutama mereka yang berpendapatan rendah sambil menambah
kali terakhir semakan gaji dilakukan adalah pada 1991.



"Saya yakin terdapat rasa tidak puas hati dan kecewa kerana mereka
bergelut setiap hari untuk meneruskan kehidupan dengan pendapatan rendah
purata antara RM805 dan RM820 sebulan bagi gaji pokok.



"Ini malah di bawah garis kemiskinan yang menetapkan pendapatan RM880
sebulan," beliau menulis dalam ruangan "Letters to the Editor" yang
disiarkan oleh akhbar berbahasa Inggeris, The Star, hari ini.



Beliau membuat komen itu susulan pendedahan oleh Presiden Cuepacs Datuk
Azih Muda bahawa kira-kira 800,000 penjawat awam memperoleh pendapatan
rendah pada purata RM850 sebulan.



Beliau berkata gaji rendah telah menjejaskan moral penjawat awam dan bersikap negatif dalam melakukan kerja mereka.



Navaratnam berkata orang ramai, khususnya pembayar cukai, yang mendakwa
bahawa tidak harus menaikkan gaji walaupun penjawat awam berpendapatan
rendah kerana produktiviti mereka rendah, perlu faham bahawa mungkin
terdapat hubung kait antara gaji rendah dan produktiviti merosot.



"Justeru, kerajaan perlu melakukan penambahbaikan bagi kakitangan dalam
perkhidmatan awam, terutama kumpulan berpendapatan rendah dengan
memberi tawaran yang lebih adil," katanya.



Beliau mencadangkan kerajaan menaikkan gaji minimum purata golongan
yang terjejas itu supaya berada di atas garis kemiskinan RM880 sebulan
kepada kira-kira RM1,200 sebulan.



Pada masa yang sama, beliau juga meminta kerajaan mencapai persetujuan
dengan Cuepacs dan meminta mereka meningkatkan produktiviti,
melaksanakan disiplin yang lebih ketat dan meningkatkan dedikasi supaya
perkhidmatan awam dapat memberi perkhidmatan lebih cekap kepada orang
ramai.



"Jadi tolong beri tawaran yang lebih baik dengan membayar gaji melepasi
paras kemiskinan kepada penjawat awam yang bergaji rendah. Berikanlah
maruah dan mereka akan respons dengan komitmen yang lebih besar untuk
berkhidmat kepada negara," katanya.



Navaratnam berkata, menaikkan gaji mereka juga akan membantu untuk
mengurangkan ketidaksamarataan dan meningkatkan agihan pendapatan.



"Lagipun, anggota Parlimen dengan sebulat suara menyokong bagi kenaikan
gaji lebih tinggi untuk diri mereka. Ini berlaku, walaupun ramai
daripada mereka menunjukkan prestasi yang baik hanya dalam politiking
dan penyebaran skandal dan pada masa yang sama mereka memperoleh
pendaparan daripada sumber lain dan terlepas," katanya.



Beliau berkata secara alternatif, kerajaan perlu menswastakan lebih
banyak perkhidmatan awam dan mendesak bagi produktiviti lebih tinggi
daripada entiti swasta yang perlu bersaing untuk kontrak.



Beliau menambah ini boleh mengurangkan saiz penjawat awam yang sekarang berjumlah 1.4 juta orang.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment