Utusan Malaysia
20/4/2015
KUALA LUMPUR 20 April – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam
Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kenaikan gaji pokok baharu bagi
kakitangan awam Gred 11 yang bakal diumumkan hujung tahun ini melepasi
Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata,
ketika ini lebih 3,000 kakitangan awam Gred 11 di bawah pelantikan awal
menerima gaji sebanyak RM832 hingga RM850 sebulan, sedangkan garis
kemiskinan kebangsaan adalah pendapatan bulanan minimum RM880.
Katanya, kakitangan awam yang menerima gaji seperti itu kebanyakannya
terdiri daripada pembantu am dan pemandu yang masuk ke perkhidmatan awam
menggunakan kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
“Jika
ikutkan CUEPACS, mahu kenaikan sehingga RM1,200 sebulan kerana keadaan
ekonomi semasa semakin mencabar tetapi jika jumlah itu yang kerajaan
mampu, kami tetap berterima kasih.
“Permohonan
kenaikan gaji minimum ini bukan untuk mendesak tetapi adalah hak
kakitangan awam yang selama ini bertungkus-lumus membantu merealisasikan
dasar-dasar kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau
mengulas pengumuman Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad
Zabidi Zainal hari ini berhubung gaji pokok baharu bagi 3,072 kakitangan
awam Gred 11 pada hujung tahun ini.
Tambah
Azih, pihaknya menggesa kerajaan supaya menubuhkan Majlis Perundingan
Gaji Sektor Awam sebagai pendekatan terbaik dalam menyelesaikan sebarang
isu berhubung pelaksanaan gaji minimum kakitangan awam.

No comments:
Post a Comment