Sinar Harian
19/4/2015
KOTA BHARU - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan
Awam (Cuepacs) berharap kerajaan dapat melakukan penambahbaikan dalam
252 skim gaji mengikut kesesuaian masa kini.
Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata, maklum balas yang diterima
tidak memuaskan terutamanya apabila Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
menyifatkan tuntutan pihaknya sebagai tidak sesuai selepas mengambil
kira keadaan ekonomi semasa.
“Saya berharap agar kerajaan akan mempertimbangkan tuntutan supaya 252
skim gaji dikaji semula dan ditambah baik, termasuklah cadangan
menaikkan gaji minimum kakitangan awam sehingga RM1,200 sebulan.
“Sejak kebelakangan ini kita tengok kerajaan menyatakan masa tidak
sesuai untuk kenaikan gaji. Soalnya bukan sesuai atau tidak kerana kalau
nak kata tidak sesuai, sepanjang masa pun tidak sesuai,”katanya kepada
media di majlis penutupan Seminar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)
dan Kepenggunaan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung,
semalam.
Menurutnya, jika kerajaan benar mahu menjaga kepentingan penjawat awam
rendah, satu usaha yang komprehensif perlu dimulakan sekarang.
Bagaimanapun menurut Azih, pihaknya yakin Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak seorang pemimpin yang prihatin dan akan menyelesaikan
isu tersebut secepat mungkin.
“Sebab itu kita harap beliau dapat mengumumkan penambahbaikan 252 skim
ini ketika sambutan Hari Pekerja di Kuching, Sarawak pada 1 Mei ini,”
katanya.
Terdahulu, Cuepacs menuntut supaya kerajaan menaikkan gaji kakitangan
awam sebanyak 35 peratus bagi menjadikan RM1,200 sebulan sebagai gaji
minimum.
Menurut beliau, gaji yang diterima RM805 sebulan adalah tidak memadai
dan berada di tahap yang rendah terutama ketika kos sara hidup melambung
tinggi sekarang.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Azih turut menggesa kerajaan
menarik semula cadangan untuk menamatkan perkhidmatan kira-kira 46,000
penjawat awam yang dilantik secara kontrak pada 31 Disember depan.
“Kita minta jasa baik Perdana Menteri supaya mempertimbangkan perkara
ini memandangkan mereka yang terbabit kebanyakannya pemegang ijazah dan
saya yakin, setelah bekerja dengan kerajaan, mereka mempunyai komitmen
sendiri dalam kehidupan masing-masing.
“Jika perkara ini (penamatan kontrak perkhidmatan) berlaku, tidak
mustahil pelbagai isu akan timbul dan mereka akan menghadapi masalah
untuk mendapatkan kerja baharu,” katanya.
No comments:
Post a Comment