Friday, 24 April 2015

TIADA TOLAK ANSUR TERHADAP IDEALOGI IS



Harian Metro
24/4/2015







Putrajaya:


Kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana penjawat awam
sekiranya didapati terbabit dalam gerakan ideologi kumpulan militan
Negara Islam (IS) dan juga kegiatan ekstremis lain.




Peringatan itu dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa
ketika berucap di hadapan kira-kira 900 pegawai dan kakitangan awam yang
berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri (JPM) sempena Majlis Anugerah
Perkhidmatan Cemerlang (APC) JPM 2014 di sini, semalam.


Ali berkata, ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada
hari ini mewujudkan fenomena globalisasi dunia tanpa sempadan, sekali
gus memudahkan kemasukan maklumat-maklumat tanpa tapisan termasuk IS
yang disebar menerusi laman media sosial Facebook, Youtube, Twitter,
Instagram dan sebagainya.


Justeru, katanya, beliau mahu penjawat awam menilai dengan bijak
setiap maklumat diterima agar tidak mudah terpengaruh terutama dengan
maklumat negatif dan menyeleweng.


“Sebagai penjawat awam, kita juga harus sedar bahawa kita juga boleh
berjihad dengan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan
masyarakat.


“Ia adalah sumbangan yang amat besar dan mudah-mudahan usaha murni dan ikhlas itu akan diberkati Allah SWT,” katanya.


Dalam pada itu, katanya, penjawat awam juga harus memberi penerangan
dan kefahaman yang betul mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)
kepada rakyat terutama mengenai tentang faedah dan kebaikan sistem
percukaian itu.


Menurutnya, penjawat awam perlu berhati-hati dalam menerima maklumat
mengenai GST di media sosial memandangkan terdapat kekeliruan dan
maklumat yang salah disebar luas di pihak tertentu media sosial
berkenaan.


“Selain itu, penjawat awam juga tidak terlepas daripada kesan
kenaikan kos sejak pelaksanaan GST pada 1 April lalu berikutan ada
peniaga tamak yang bertindak menaikkan harga barangan runcit di
pasaran,” katanya.


Mengulas mengenai tuntutan dibuat Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja
Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk menaikkan gaji penjawat awam
sebanyak 35 peratus, Ali berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap
kebajikan penjawat awam.


Malah, katanya, kenaikan kos barangan dan keperluan memberikan impak terhadap kehidupan seharian.


“Justeru, kerajaan merancang kenaikan gaji pokok bagi penjawat awam bergaji di bawah RM850 sebulan akhir tahun ini,” katanya.


Terdahulu, seramai 1,966 warga cemerlang JPM menerima APC dan Sijil
Penghargaan semalam dimana 1,954 orang menerima APC dan 12 orang
menerima Sijil Penghargaan JPM.


Kesemua mereka dipilih dalam kalangan pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di 58 jabatan, agensi dan bahagian JPM.

No comments:

Post a Comment