Thursday, 30 April 2015

PEMIMPIN KESATUAN DIGESA LEBIH AKTIF BANTU KEBOLEH PASARAN PEKERJA





Bernama
30/4/2015










KUCHING, 30 April (Bernama) -- Pemimpin kesatuan sekerja perlu
memainkan peranan lebih aktif untuk meningkatkan kebolehpasaran warga
pekerja, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.



Beliau berkata peranan itu boleh dilakukan menerusi sokongan terhadap
usaha kerajaan dalam aspek pembangunan kompetensi berteraskan
pengetahuan, kemahiran serta kepakaran dalam sesuatu bidang.



"Selain itu pergerakan kesatuan sekerja harus bertindak sebagai pemandu
dalam membantu mewujudkan masyarakat pekerja yang berilmu,
berpengetahuan dan multilfleksibel hingga berupaya menukar maklumat dan
ilmu pengetahuan kepada produk yang boleh digunakan dalam pelbagai
cara," katanya.



Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Kesatuan Pekerja 2015 di sini Khamis.



Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abd Mutallib,
Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Saripuddin Kasim, Ketua
Pengarah Kesatuan Sekerja Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Malaysia,
Mustafa Ali, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam
Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda dan Presiden Kongres
Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Khalid Atan.



Konvensyen sehari itu dihadiri kira-kira 800 pegawai dan ahli kesatuan
sekerja seluruh negara sempena sambutan Hari Pekerja Peringkat
Kebangsaan 2015 yang akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak di bandar raya ini esok.



Riot berkata pembangunan modal insan yang berkualiti perlu
dilipatgandakan dalam memastikan sesebuah negara dapat terus berdaya
saing dan berdaya tahan.



Katanya tanpa modal insan yang berkualiti, agak sukar bagi sesebuah
negara mencapai matlamat yang diinginkan sama ada dalam pembangunan
ekonomi ataupun dalam aspek pembangunan sosial.



"Pembangunan ekonomi yang pesat di Malaysia memerlukan guna tenaga yang
banyak dan sehingga ke hari ini, jumlah pekerjaan di negara ini telah
meningkat kepada 13.9 juta orang.



"Di sinilah menggambarkan sumbangan sumber manusia sebagai memenuhi
peluang pekerjaan dan guna tenaga dalam industri pelbagai sektor di
negara ini," katanya.



Dalam pada itu Saripuddin berkata Malaysia mempunyai 735 kesatuan
sekerja berdaftar dengan 73 kesatuan sekerja didaftar di Sarawak.







-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment