Utusan Malaysia
16/4/2015
KUANTAN
16 April – “Siapakah yang tidak hendak naik elaun, naik gaji? Saya juga
(pekerja) perkhidmatan awam, kalau tanya saya pun hendak. Tetapi adakah
sesuai dengan masa ini untuk kita naik gaji? Ini kita kena faham.”
MOHAMAD ZABIDI
Itu reaksi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan
Sri Mohamad Zabidi Zainal mengenai isu kenaikan gaji kakitangan awam
yang disentuhnya ketika berucap merasmikan Hari Terbuka Psikologi
Pahang anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam dengan kerjasama Pejabat
Setiausaha Kerajaan Negeri di sebuah hotel di sini hari ini.
Menurut beliau, sebagai penggerak transformasi,
penjawat awam perlu mengubah minda dan strategi dengan duduk sebagai
satu landasan perkhidmatan bagi memberi khidmat terbaik kepada semua
termasuk kepada rakyat, pembangunan negara dan golongan yang
berkehendakkannya seperti pelabur.
Kata beliau, pendekatan tersebut pasti dapat
memikat pelbagai pihak termasuk kemasukan pelaburan ke negara ini
sehingga memberi nikmat ekonomi yang lebih baik kepada semua.
“Kalau duit banyak, nak naik gaji boleh, nak naik
elaun boleh. Tetapi kalau ekonomi dalam keadaan tertekan, bagaimana nak
naik gaji dan elaun?,” katanya.
Semalam, Presiden Kongres Kesatuan
Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda
menyampaikan Memorandum CUEPACS 2015 berhubung tuntutan kenaikan gaji
kakitangan awam sebanyak 35 peratus bagi menjadikan RM1,200 sebulan
sebagai gaji minimum kepada Mohamad Zabidi selepas menghadiri
Perhimpunan Penjawat Awam dan Taklimat Isu-Isu Semasa di Pusat
Konvensyen CIDB, Jalan Cheras di Kuala Lumpur.
Menurut Azih, setakat ini gaji terendah yang
diterima oleh kakitangan awam sebanyak RM805 sebulan tidak memadai dan
di bawah paras kemiskinan terutama bagi yang tinggal di kawasan bandar.
Dalam pada itu, Mohamad Zabidi yang ditemui
pemberita selepas majlis berkenaan tidak dapat memberikan kenyataan
dengan alasan terpaksa bergegas kerana mempunyai urusan lain.
Terdahulu, beliau berkata, penjawat awam perlu
bersedia meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan,
berupaya memberi nilai tambah dalam melaksanakan perkhidmatan serta
berkarektor betul yang bersesuaian dengan tugas diamanahkan.
No comments:
Post a Comment