Bernama
17/4/2015
KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
hari ini menafikan terdapat 400,000 hingga 800,000 penjawat awam
daripada Kumpulan Pelaksana yang masih menerima gaji antara RM805 hingga
RM820 sebulan.
JPA dalam kenyataan hari ini berkata gaji terendah dalam Perkhidmatan Awam ialah bagi gred 11 iaitu antara RM832 hingga RM850.
Menurut kenyataan itu, jumlah pendapatan keseluruhan untuk kelompok
berkenaan yang meliputi gaji dan elaun adalah antara RM1,257 dan
RM1,275.
"Menurut rekod rasmi kerajaan, jumlah penjawat awam yang menerima gaji RM850 ke bawah ialah seramai 3,072 orang," katanya.
Semalam, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam
Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda dilaporkan berkata terdapat
400,000 penjawat awam di negara ini masih menerima gaji serendah RM805
sebulan.
Azih berkata mereka yang menerima gaji seperti itu kebanyakannya
terdiri daripada pembantu am dan pemandu yang masuk ke perkhidmatan awam
menggunakan kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Sementara itu, Azih ketika dihubungi Bernama berkata gaji antara RM832
hingga RM850 itu masih dikira berada di bawah garis kemiskinan dalam
situasi peningkatan kos sara hidup pada masa ini.
"Sekarang kita bercakap pasal gaji pokok bukannya ambil kira soal
campur dengan elaun perumahan, elaun khidmat awam dan elaun sara hidup.
Elaun bukan pendapatan sebenar...macam mana penjawat awam yang dapat
kuarters kerajaan, sudah tentu elaun perumahan kena tarik balik, tidak
dapat," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengulangi tuntutan CUEPACS supaya kerajaan
menaikkan gaji penjawat awam dalam kelompok gaji terendah
sekurang-kurangnya 35 peratus atau menetapkan RM1,200 sebulan sebagai
gaji minimum mereka.
Azih berkata peningkatan gaji boleh menjadi pendorong kepada penjawat
awam meningkatkan produktiviti kerja dan menunjukkan prestasi yang baik
sekaligus mewujudkan modal insan bersikap positif.
"Makan kena cukup dan hidup selesa. Lagi pula dengan gaji pokok RM800
lebih sebulan ini mampukah mereka hendak beli rumah yang berharga
RM150,000 di bawah PPA1M (Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia)?.
Jawapannya memang tidak mampu," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment