Bernama
13/4/2015
KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja
Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP) memberi pilihan kepada pekerja berhubung had umur
pengeluaran wang.
Presidennya Datuk Azih Muda berkata pekerja harus diberi pilihan sama
ada mengeluarkan wang simpanan mereka antara umur 55 hingga 60 tahun.
"KWSP tidak sepatutnya hanya melihat kepentingan wang yang diuruskan
tetapi juga masa depan pekerja negara ini," katanya ketika dihubungi
BERNAMA, Isnin.
Beliau ditanya mengenai cadangan KWSP yang sedang menimbang
menyelaraskan umur pengeluaran simpanan persaraan ahlinya hampir kepada
usia persaraan 60 tahun.
Azih yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut berkata bukan semua
pekerja akan bekerja sehingga usia 60 dan mereka juga memerlukan wang
sebagai persediaan bersara pada usia 56, 58 atau 60 tahun.
"Had umur 55 tahun pada masa kini adalah bersesuaian dan kami harap ia
dapat dikekalkan kepada semua pekerja sektor awam dan swasta.
Katanya, terdapat pelbagai faktor seperti kesihatan, gaya hidup dan
jenis pekerjaan yang menyebabkan seseorang pekerja itu bersara awal
daripada umur 60 tahun.
"KWSP tidak berhak menahan pesara daripada mengeluarkan wang mereka
lebih awal dan jika pengeluaran wang dibuat pada umur hampir 60, akan
ramai pesara yang sukar menanggung perbelanjaan harian dan
menggunakannya untuk berbagai tujuan," katanya.
Bagi seorang bakal pesara, Mohd Jamil Daud, 55, langkah yang diambil
oleh KWSP untuk menambah baik polisi sedia ada demi kepentingan rakyat
amat dihargai namun ia haruslah dikaji semula daripada setiap sudut.
"Pesara sepatutnya berhak mendapat wang persaraan mereka apabila sudah
bersara bagi memudahkan mereka membiayai kehidupan seharian.
Mohd Jamil mencadangkan pencarum menyertai kursus kewangan dan pelaburan
sebelum usia persaraan sebagai persediaan menguruskan wang simpanan
mereka.
Sementara itu, Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja
Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) memandang serius perkara berkenaan dan
meminta KWSP mengekalkan had pengeluaran wang simpanan sedia ada.
Presidennya, Mohamed Shafie BP Mammal dalam satu kenyataan berkata,
perkara tersebut akan dibangkitkan pada Mesyuarat Persidangan Perwakilan
UNI-MLC pada 25 April depan selain menghantar memorandum kepada Perdana
Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
"Situasi ekonomi semasa dan kos sara hidup tinggi menyebabkan rakyat
perlu menguruskan kewangan dengan lebih baik selain mempunyai komitmen
merancang masa depan sebelum bersara," katanya.
"Tempoh pengeluaran wang carumaan yang mahu diselaraskan oleh KWSP juga
agak terlewat dan tidak relevan kerana kebanyakan pekerja pada usia itu
memerlukan wang simpanan untuk pelbagai tujuan seperti perubatan,
menjelaskan pembiayaan kewangan rumah, pendidikan anak-anak dan
menampung kos sara hidup harian.
Katanya, pulangan diberikan KWSP pada ketika ini kepada pencarum adalah
rendah (enam peratus) berbanding institusi lain seperti Amanah Saham
Nasional (ASN), Lembaga Tabung Haji dan FELDA yang memberi dividen lebih
banyak daripada KWSP.
Mohamed Shafie berkata, pihaknya meminta KWSP mengkaji semula cadangan
tersebut sekali gus tidak mengambil tindakan drastik tanpa memikirkan
soal kebajikan pekerja.
Sementara itu di KUALA TERENGGANU, Majlis Belia Negeri Terengganu
(MBNT) menyuarakan bantahan terhadap cadangan KWSP untuk
mempertimbangkan penyelarasan umur pengeluaran simpanan pencarum dari 55
tahun kepada 60 tahun.
Pengerusi majlis itu, Zaidi Muda berkata umur 55 tahun adalah masa yang
sangat sesuai para pekerja mengeluarkan simpanan mereka setelah sampai
kepada umur persaraan.
"Wang ini boleh digunakan untuk menguruskan keluarga pencarum setelah
bersara dan pastinya pendidikan menguruskan kewangan dapat membantu
pesara merancang dengan baik.
KWSP tidak boleh menggunakan pelbagai alasan untuk menghalang pencarum
mengeluarkan simpanan mereka pada usia 55 tahun kerana wang itu adalah
simpanan dan hak pencarum," katanya kepada BERNAMA.
Zaidi berkata KWSP adalah antara tabung simpanan persaraan tertua dan
terbesar di dunia dengan aset pelaburan RM636.53 bilion dan pekerja
sangat mengharapkan wang simpanan mereka untuk menikmati usia dengan
baik selepas persaraan.
"Jumlah ahli KWSP meningkat setiap tahun dan kini ia mempunyai 14.192
juta ahli dengan 6.659 juta ahli aktif. Ini sekali gus menyaksikan KWSP
menerima caruman yang tinggi dengan mencecah RM4.76 bilion sebulan atau
keseluruhan RM57.17 bilion pada tahun lalu," katanya.
--BERNAMA
No comments:
Post a Comment