Bernama
20/4/2015
PUTRAJAYA, 20 April (Bernama) -- Kerajaan akan mengumumkan kadar gaji
pokok baharu bagi 3,072 kakitangan awam kumpulan Gred 11 yang menerima
gaji antara RM823 hingga RM850 pada hujung tahun ini, kata Ketua
Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
Katanya kumpulan gred terendah dalam perkhidmatan awam itu yang terdiri
daripada mereka yang memasuki sektor awam melalui Penilaian Menengah
Rendah (PMR), antaranya pembantu am rendah, pembantu operasi dan
pemandu, berpendapatan keseluruhan termasuk gaji dan elaun antara
RM1,257 hingga RM1,275.
Beliau berkata ia akan merupakan semakan keempat bagi Gred 11 setelah
tiga kali semakan iaitu pada tahun 2002 dengan gaji minimum RM480, 2007
(RM649) dan 2013 (RM832).
"Kerajaan memang prihatin kumpulan yang mendapat gaji minimum rendah.
Kerajaan sedang merancang untuk memberi kenaikan gaji kepada mereka dan
dijangka umum pada hujung tahun ini.
Kita sedang mengkaji secara menyeluruh pada satu tahap yang
bersesuaian. Kita akan tengok pada keadaan semasa," katanya dalam sidang
media di sini Isnin.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam
(CUEPACS) Datuk Azih Muda sebelum ini dilaporkan berkata terdapat
400,000 penjawat awam di negara ini masih menerima gaji serendah RM805
sebulan.
Mohamad Zabidi berkata kerajaan juga akan mengumumkan semakan gaji bagi
252 skim gaji dan elaun untuk semua kumpulan kakitangan awam pada
hujung tahun ini.
"Kajian semula ini dijangka diumum pada hujung tahun ini," katanya.
--BERNAMA
No comments:
Post a Comment