Monday, 4 May 2015

ASPEK KEBAJIKAN PEKERJA DITAMBAH BAIK, LONJAKAN PRODUKTIVITI - CUEPACS



Bernama
2/5/2015











KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Presiden Kongres Kesatuan
Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda
berkata penambahbaikan terhadap kebajikan pekerja diharap dapat
melonjakkan lagi produktiviti.



Katanya, tiga inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak bersempena Hari Pekerja semalam, merupakan 'hadiah istimewa'
kepada golongan pekerja.



"Cuepacs lihat ia bagus dan baik sekali kerana perlindungan kesihatan
penting terutama kepada pekerja. Perlu dilihat mereka yang bekerja di
bandar dengan pendapatan RM4,000 ke bawah masih ditakrifkan sebagai
berpendapatan rendah.



"Maka kami (Cuepacs) juga berharap pihak majikan perlu menerima baik
perkara ini demi kebajikan pekerja bagi menjamin kelangsungan
produktiviti," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.



Azih berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman
siling caruman pekerja yang diinsuranskan ditingkatkan daripada RM3,000
kepada RM4,000.



Dalam pada itu, Azih juga menyambut baik pengumuman kemudahan cuti tiga
hari buat penjawat awam bagi urusan kematian keluarga terdekat
memandangkan perkara itu pernah dibangkitkan kesatuan sebelum ini.



Kemudahan Cuti Tanpa Rekod yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai akan
diperluaskan kepada ibu dan bapa mentua, ibu dan bapa angkat serta anak
angkat yang sah di sisi undang-undang.



"Situasi seperti kematian merupakan perkara luar jangkaan, maka apabila
ia diperluaskan maka penjawat awam dapat memanfaatkan kemudahan yang
diberikan ini," katanya.



Sementara itu, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Tan Sri Wan
Mahmood Pawan Teh berpendapat langkah kerajaan menambah baik aspek
kebajikan golongan pekerja bukan hanya membolehkan golongan itu menarik
nafas lega malah membantu melonjakkan produktiviti dan kualiti kerja.



Katanya, kejayaan sesebuah organisasi ditentukan oleh tenaga pekerja yang memikul amanah diberikan majikan.



"Jika kebajikan terjaga dan terbela, maka mereka (pekerja) bukan hanya
rasa dihargai malah akan terus meningkatkan momentum sedia ada kepada
suatu tahap yang lebih membanggakan," katanya.



Justeru, Wan Mahmood berkata situasi tersebut secara langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.



Perdana Menteri semalam turut mengumumkan program saringan kesihatan
percuma Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi pekerja sektor
swasta yang berumur 40 tahun diteruskan, dengan menyediakan perkhidmatan
bergerak bagi membolehkan pemeriksaan saringan kesihatan diadakan di
premis majikan.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment